August 11, 2011

Bukan Laila Majnun

            Hikayat lama sang pecinta yang jauh lebih mengasyikkan, jauh lebih mengharukan daripada Romeo dan Juliet.  Ini bukan sinopsis mahupun ringkasan hikayat lama itu. Sekadar refleksi sebuah kisah biasa-biasa orang biasa-biasa dalam hidup mereka yang serba biasa. Qaisy (bukan nama sebenar pastinya) telah sekian lama memendam rasa hatinya buat Laila. Laila yang dikasihi sepenuh hatinya ibarat bulan, jauh dari jangkauan walaupun kasih Qaisy setinggi langit.


Qaisy:  “Tatkala cinta berbisik, suaranya memuji TUHAN. Sampai masanya cinta jadi taruhan, Laila menjadi impian.”


          Detik berganti detik, minit beralih minit, namun Qaisy masih kejap mempertahankan rasanya buat Laila. Buatnya Laila adalah kurnia terbaik dalam hidupnya. Harapnya Cuma satu, biarlah Laila yang mengetuai gerombolan bidadari di langit ketujuh itu nanti. Sekalipun itu hanya berlaku dalam mimpinya, Qaisy rela kerana cintanya buat Laila melebihi dirinya.
          Bukan tiada yang cuba menguggah cintanya buat Laila, namun tidak seinci hatinya terkalih. Kelibat wanita itu tetap dirindu. Bariskanlah sebanyak mana wanita lain dihadapnya, Qaisy teguh memilih Laila sekalipun belum ada sesuatu yang boleh diputuskan di antara mereka. Laila, hatinya sukar ditebak. Tutur kata, lenggok badannya seperti mengiyakan rasa yang sama buat Qaisy.  ‘Biarlah semuanya ditentukan oleh yang Maha Mencintai,’ getus Qaisy setiap masa. Mungkin suatu epilog untuk mengubat galau jiwanya yang sekian lama terwujud.  Namun lelaki itu, terus betah menunggu. Terus sabar menanti Lailanya. Terus begitu. Biar untuk seribu tahun lagi, Qaisy akan menanti Laila. Menunggu restu dari ‘atas’ untuk mengakhirkan kisahnya dengan sebuah pengakhiran yang indah. Untuk kesekian kalinya, hanya renungan penuh erti yang dilemparkan buat Lailanya. Menunggu jika suatu hari nanti Laila akan menjadi miliknya.

Qaisy: “Tanpa lafazpun kau tahu kau kutunggu.”

No comments:

Post a Comment